Saturday, December 4, 2010

Tuesday, November 30, 2010

Berbatov dapat pujian Ferguson




MANCHESTER, United Kingdom - Alex Ferguson melemparkan pujian kepada Dimitar Berbatov selepas penyerang Manchester United itu menamatkan kemarau jaringan dengan meledakkan lima gol ketika menang 7-1 ke atas Blackburn di Old Trafford semalam.

Lebih menarik, penyerang Bulgaria itu turut mencipta sejarah Liga Perdana England untuk menjadi pemain keempat berjaya menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan.

Pengurus skuad Red Devils itu percaya kejayaan tersebut akan melonjakkan keyakinan Berbatov yang tidak menjaringkan gol sejak melakukan hatrik ke atas Liverpool pada September lalu.

Selain itu, dia juga tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama United ketika menumpaskan Wigan Athletic 2-0 pada 20 November lalu.

"Ia adalah satu pencapaian yang menakjubkan," kata Ferguson.

"Dia hampir menjaringkan enam gol tetapi penjaga gol Blackburn, Paul Robinson berjaya mengagalkan percubaannya itu.

"Apabila penyerang tidak menjaringkan gol, mereka tidak fikir bahawa mereka melakukan tugas dengan baik. Keadaan ini seringkali berlaku. Hari ini (semalam), dia kembali menemui sentuhan."

Untuk rekod, Berbatov mengikut jejak Andy Cole, Alan Shearer dan Jermain Defoe sebagai pemain yang menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan sejak format baru liga diperkenalkan pada tahun 1992.

Cole memperoleh jaringan itu ketika United menentang Ipswich pada tahun 1995, Shearer menjadi tonggak Newcastle ketika bertemu Sheffield Wednesday (1999) dan Defoe melakukan untuk Tottenham ketika berdepan Wigan tahun lalu. - AFP